click here ^_^

Labels

riang selalu ^_^

Saturday 9 November 2013

Mengapa nabi kahwin lebih dari satu??



Sekiranya kita ikuti secara teliti sejarah dan suasana Nabi Muhammad s.a.w. serta faktor-faktor baginda mengahwini wanita-wanitanya, nescaya akan didapati beberapa hakikat seperti berikut:

Pertama: Bahawa orang-orang arab sebelum kedatangan agama islam boleh dan harus berkahwin beberapa banyak wanita yang mereka sukai. Keadaan yang serupa menjadi tradisi juga kepada masyarakat lain di waktu itu. Oleh yang demikian poligami bukanlah merupakan satu hal yang luar biasa bagi kebanyakan tempat di muka bumi ini, terutamanya di negara Arab. Jadi tidaklah ada alasan sama sekali untuk dianggap ganjil dan cela perbuatan itu.

Kedua: Bahawa agama islam mengambil jalan tengah terhadap isu poligami iaitu penyatuan diantara memenuhi seruan fikiran dan tabiat semula jadi dengan melaksanakan kepentingan perasaan dan syahwat menurut ketentuan yang berpatutan. Itulah sebabnya islam mengharuskan poligami, asal sahaja poligami yang dimaksudkan untuk mencapai tujuan-tujuan yang mulia dan suci. Apalagi pogami dalam islam telah ditentukan batasannya seramai empat orang. Syariat begini tentulah dapat melaksanakan sikap yang pertengahan dan adil sehingga tidaklah tersekat kalau ada perkara-perkara yang membolehkan atau perkara-perkara yang memaksa, seperti sakit atau mandul atau menyelamatkan wanita-wanita yang belum menjadi isteri dari kepayahan hidup atau sebagainya. Tetapi pintu poligami ini tidaklah dibuka begitu luas dan dilepas sehingga orang lelaki boleh membuat menurut sesuka hatinya tanpa batasan atau tanpa memperduli tanggungan moral dan material.

Ketiga: Bahawa Nabi Muhammad s.a.w. mengahwini wanita-wanita ialah masa sebelum ayat poligami turun pada tahun kelapan hijrah. Nabi tidak menambah lagi walaupun seorang selepas sahaja ayat poligami diturunkan.

Keempat: Bahawa Nabi Muhammad s.a.w. di waktu mudanya hanya mempunyai seorang isteri sahaja yang berusia jauh lebih muda daripadanya, iaitu Saidatina Khadijah r.anha. Nabi berkahwin dengannya semasa berusia 25 tahun , iaitu 15 tahun sebelum baginda diutus menjadi Rasul. Saidatina Khadijah pada waktu itu sudah berumur 40 tahun dan sudah dua kali bersuami dan beroleh anak. Kemudian barulah berkahwin dengan Nabi dan berkekalan dalam pimpinan Nabi sehingga akhir hayatnya. Selepas Saidatina Khadijah meninggal dunia Nabi tidak pernah kenal wanita-wanita lain kecuali dalam tahun kedua sesudah hijrah. Dapatkah baginda dituduh pencinta wanita kalau diwaktu mudanya yang berusia diantara dua puluhan hingga lima puluhan hanya memadai seorang isteri sahaja.Ertinya Nabi hidup bersama Saidatina Khadijah dan selepas ditinggalkan Khadijah hampir 30 tahun. Kemudian barulah nabi kahwin dengan Aisyah. Ketika itu Saidatina Aisyah pula masih terlalu kecil kalau dipadankan dengan seorang lelaki yang telah berusia 55 tahun. Itulah sebabnya ada riwayat-riwayat yang mengatakan bahawa Nabi berkahwin dengan Aisyah pada tahun kedua hijrah itu tidaklah boleh dikatakan perkahwinan yang sebenar. Cuma sekadar pindah rumah sahaja. Kerana Aisyah belum dapat memikul tugas sebagai seorang isteri yang sebenar.

Kelima: Bahawa perkahwinan Nabi Muhammad s.a.w. selepas Saidatina Khadijah tidak mendapat sebarang keturunan. Dapatlah diambil kesimpulan bahawa perhubungannya dengan isterinya amatlah terbatas. Bahkan mungkin jarang sekali baginda meniduri isteri-isterinya lantaran sibuk dengan urusan agama. Kalau tidak, mengapa baginda tidak memperolehi anak daripada mereka.

Keenam: Bahawa perkahwinan Nabi Muhammad s.a.w. sama sekali tidak pernah memilih seorang gadis yang jelita untuk menjadi isterinya, sedangkan kedudukan dan kekuasaannya pada waktu itu tidaklah susah untuk mendapatkan gadis-gadis Arab yang cantik dan gadis-gadis Rom dan Parsi yang paling jelita yang berapa di semenanjung tanah Arab itu. Kemudian semua isterinya ketika dikahwinkannya adalah janda-janda kecuali Aisyah.

Kenyataan-kenyataan ini dapatlah dipastikan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. tidaklah boleh dituduh sebagai seorang lelaki pemburu wanita sebagaimana yang dikatakan oleh musuh-musuhnya. Sekiranya Nabi bersifat pemburu wanita maka bagaimana baginda boleh hidup 30 tahun dengan hanya mengenal  seorang wanita sahaja, itupun yang sudah tua dan masuk kali ketiga berkahwin dengannya. Pada hal baginda ketika itu masih muda dan cukup sihat. Kenyataan-kenyataan ini juga dapat dipastikan bahawa setiap perkahwinan Nabi adalah mengandungi tujuan tujuan tertentu, samada tujuan itu kembali kepada maslahat Islam atau seruannya atau kepada peri kemanusiaan yang luhur atau kepada tujuan syariat Islam dengan perintah Allah S.W.T.

No comments:

Post a Comment