Mukaddimah
Hidup manusia dibumi ini bukanlah suatu kehidupan yang
tidak mempunyai tujuan dan matlamat dan bukalah mereka boleh melakukan sesuatu
mengikut kehendak perasaan dan keinginan tanpa ada batas dan tanggungjawab.
Tetapi penciptaan makhluk manusia di bumi ini adalah mempunyai suatu
tujuan dan tugas risalah yang telah ditentu dan ditetapkan oleh Allah Tuhan yang
menciptanya.
Tugas dan tanggungjawab manusia sebenarnya telah nyata dan
begitu jelas sebagaimana terkandung di dalam al-Quran iaitu tugas melaksanakan
ibadah mengabdikan diri kepada Allah dan tugas sebagai khalifah-Nya dalam makna
mentadbir dan mengurus bumi ini mengikut undang-undang Allah dan peraturan- Nya.
Firman Allah swt. maksudnya: "Dan Aku Tidak menciptakan jin dan manusia
melainkan supaya mereka beribadah (menyembah) kepada Ku". (Az-Zaariyaat: 56)
Firman Allah swt. bermaksud: "Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah
(penguasa-penguasa) di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebaha-gian
(yang lain) beberapa darjat untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya
kepadamu". (al-An'aam: 165)
Tugas sebagai khalifah
Allah ialah memakmurkan bumi ini dengan mentadbir serta mengurusnya dengan
peraturan dan undang-undang Allah. Tugas beribadah dan mengabdi diri kepada
Allah dalam rangka melaksanakan segala aktiviti pengurusan bumi ini yang tidak
terkeluar dari garis panduan yang datang dari Allah swt. dan dikerjakan segala
kegiatan pengurusan itu dengan perasaan ikhlas kerana mencari kebahagian dunia
dan akhirat serta keredaan Allah.
Allah swt. telah menyediakan garis
panduan yang lurus dan tepat kepada manusia dalam rangka pengurusan ini. Allah
dengan rasa kasih sayang yang bersangatan kepada manusia diturunkannya para
rasul dan bersamanya garis panduan yang diwhyukan dengan tujuan supaya manusia
itu boleh mengurus diri mereka dengan pengurusan yang lebih sempurna dan
bertujuan supaya manusia itu dapat hidup sejahtera dunia dan
akhirat.
Pengertian Ibadah
Kalimat ibadah
berasal daripada kalimat `abdun'. Ibadah dari segi bahasa bererti patuh, taat,
setia, tunduk, menyembah dan memperhambakan diri kepada sesuatu.
Dari segi
istilah agama Islam pula ialah tindakan, menurut, mengikut dan mengikat diri
dengan sepenuhnya kepada segala perkara yang disyariatkan oleh Allah dan
diserukan oleh para Rasul-Nya, sama ada ia berbentuk suruhan atau larangan.
Ibnu Taimiah pula memberi takrif Ibadah, iaitu nama bagi sesuatu yang
disukai dan kasihi oleh Allah swt.
Perintah Allah dan Rasul-Nya ini
hendaklah ditunaikan dengan perasaan penuh sedar, kasih dan cinta kepada Allah,
bukan kerana terpaksa atau kerana yang lain dari cintakan kepada-Nya.
Para Nabi dan Rasul merupakan hamba Allah yang terbaik dan sentiasa
melaksanakan ibadah dengan penuh kesempurnaan di mana setiap arahan Tuhannya,
mereka patuhi dengan penuh perasaan cinta dan kasih serta mengharap keredaan
dari Tuhannya. Mereka menjadi contoh teladan yang paling baik kepada kita semua
dalam setiap pekerjaan dan amalan sebagaimana yang dianjurkan oleh al-Quran itu
sendiri.
Firman Allah swt. maksudnya: "Sesungghnya bagi mu, apa yang ada
pada diri Rasulullah itu contoh yang paling baik". (al-Ahzab: 21)
Setengah ulamak mengatakan bahawa perhambaan (ibadah) kepada Allah
hendaklah disertai dengan perasaan cinta serta takut kepada Allah swt. dan hati
yang sihat dan sejahtera tidak merasa sesuatu yang lebih manis, lebih lazat,
lebih seronok dari kemanisan iman yang lahir dari pengabdian (ibadah) kepada
Allah swt. Dengan ini maka akan bertautlah hatinya kepada Allah dalam keadaan
gemar dan reda terhadap setiap perintah serta mengharapkan supaya Allah menerima
amalan yang dikerjakan dan merasa bimbang serta takut kalau-kalau amalan tidak
sempurna dan tidak diterima oleh Allah seperti yang ditegaskan dalam firman-Nya
yang bermaksud: "(Ia itu) Oran yang takut kepada Tuhan yang Maha Pemurah sedang
Dia tidak kelihatan (olehnya) dan dia datang dengan hati yang bertaubat". (Qaf:
33)
Orang yang memperhambakan dirinya (beribadah) kepada Allah mereka
akan sentiasa patuh dan tunduk kepada kehendak dan arahan Tuhannya, sama ada
dalam perkara yang ia suka atau yang ia tidak suka dan mereka mencintai dan
mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih dari yang lain-lainnya. Mereka mengasihi
makhluk yang lain hanyalah kerana Allah semata-mata, tidak kerana yang lain
Kasihkan kepada Rasulullah saw. pula kerana ia membawa Risalah Islam, cintakan
kepada Rasulullah saw. hendaklah mengikuti sunahnya sebagaimana firman Allah
swt. maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad) sekiranya kamu kasihkan Allah maka
ikutilah aku (pengajaranku) nescaya Allah akan mengasihi kamu dan mengampunkan
dosa- dosa kamu". (Al-Imran: 31)
Dan andainya kecintaan kamu kepada
selain Allah dan Rasul-Nya itu mengatasi dan melebihi dari kencintaan dan kasih
kepada yang lain; Allah akan turunkan keseksaan-Nya kepada manusia yang telah
meyimpang dari ketentuan-Nya. Firman Allah swt. maksudnya: "Katakanlah
(Muhammad) jika ibu bapa kamu, anak-anak kamu, saudara mara kamu, suami isteri
kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu
bimbangkan kerugiannya, dan rumahtangga yang kamu sukai itu lebih kamu kasihi
daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad untuk agama Allah, maka tunggulah
(kesiksaan yang akan didatangkan) oleh Allah. Dan Allah tidak memberi hidayah
kepada orang-orang fasik". (At-Taubah: 24)
Ruang lingkup Ibadah
dan Hubunganya dengan kehidupan
Sebgaimana yang dijelaskan di
atas nyatalah ibadah itu itu bukanlah sesempit apa yang difahami oleh sebahagian
dari kalangan manusia yang tidak dapat memahami kesempurnaan Islam itu sendiri
di mana pada anggapan mereka Islam itu hanya suatu perbicaraan pasal akhirat
(mati) dan melakukan beberapa jenis ibadah persendirian tidak lebih dari itu.
Begitu juga bila disebut ibadah apa yang tergambar hanyalah masjid, tikar
sembahyang, puasa, surau, tahlil, membaca al-Quran, doa, zikir dan sebagainya
iaitu kefahaman sempit disekitar ibadah-ibadah khusus dan ritual sahaja tidak
lebih dari itu. Kefahaman seperti ini adalah akibat dari serangan fahaman
Sekular yang telah berakar umbi ke dalam jiwa sebahagian dari kalangan
orang-orang Islam.
Islam adalah suatu cara hidup yang lengkap dan
sempurna, yang merangkumi semua bidang kehidupan dunia dan akhirat, di mana
dunia merupakan tanaman atau ladang yang hasil serta keuntungannya akan dituai
dan dinikmati pada hari akhirat kelak.
Ibadah dalam Islam meliputi semua
urusan kehidupan yang mempunyai paduan yang erat dalam semua lapangan hidup
dunia dan akhirat, tidak ada pemisahan antara kerja-kerja mencari kehidupan di
muka bumi ini dan hubungannya dengan balasan akhirat. Islam mengajarkan kepada
kita setiap apa juga amalan yang dilakukan oleh manusia ada nilai dan balasan
sama ada pahala atau siksa. Inilah keindahan Islam yang disebut sebagai ad-Deen
yang lengkap sebagai suatu sistem hidup yang boleh memberi kesejahteraan hidup
penganutnya di dunia dan di akhirat.
Dengan kata lain setiap amalan atau
pekerjaan yang membawa manfaat kepada individu dan masyarakat selama ia tidak
bercanggah dengan syarak jika sekiranya ia memenuhi syarat-syaratnya, seperti
dikerjakan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata bukan kerana mencari
kepentingan dan mencari nama serta ada niat mengharapkan balasan dari manusia
atau ingin mendapat pujian dan sanjungan dari manusia; maka amalan-amalan yang
demikian akan mejadi ibadah yang diberi pahala di sisi Allah swt di akhirat
kelak, insya'-Allah.
Berdasarkan kepada konsep ibadah tersebut maka
setiap perbuatan pertolongan baik kepada orang lain seperti membantu orang
sakit, tolong merengankan beban dan kesukaran hidup orang lain, memenuhi
keperluannya, menolong orang yang teraniaya, mengajar dan membimbing orang yang
jahil adalah ibadah.
Termasuk juga dalam makna ibadah ialah setiap
perbuatan, perkataan manusia zahir dan batin yang disukai dan diredai oleh Allah
swt. Bercakap benar, taat kepada ibu bapa, amanah, menepati janji, berakata
benar, memenuhi hajat keperluan orang lain adalah iabadah.
Menuntut
ilmu, menyuruh perkara kebaikan dan mencegah segala kejahatan, berjihad, memberi
pertolongan kepada sesama manusia, dan kepada binatang, berdoa, puasa,
sembahyang, membaca al-Quran semuanya itu juga adalah sebahagian dari ibadah.
Begitu juga termasuk dalam pengertian ibadah cinta kepada Allah dan
Rasul-Nya, melaksanakan hukum-hukum Allah, sabar menerima ujian, bersyukur
menerima nikmat, reda terhadap qadha' dan qadar-Nya dan banyak lagi kegiatan dan
tindakan manusia yang termasuk dalam bidang ibadah.
Kesimpulannya
ruanglingkup ibadah dalam Islam adalah terlalu terlalu luas yang merangkumi
semua jenis amalan dan syiar Islam dari perkara yang sekecil-kecilnya seperti
cara makan, minum dan masuk ketandas hinggalah kerja-kerja menguruskan kewangan
dan pentadbiran negara semuanya adalah dalam makna dan pengertian ibadah dalam
ertikata yang luas apabila semuanya itu dikerjakan dengan sebaik-baiknya dengan
menurut adab dan peraturan serta memenuhi syarat-syaratnya.
Hubungan Iman dan Amal
Iman bukanlah sekadar
suatu keyakinan dan pembenaran dalam hati terhadap apa yang dibawa oleh Nabi
Muhammad saw. tetapi iman yang hakiki dan sebenar ialah merangkumi pembenaran
dan keyakinan di dalam hati, pengucapan di lidah serta melaksanakan amalan
dengan anggota badan iaitu melakukan amalan soleh, maka dengan ini dapatlah
difahami iman itu bukanlah sekadar ucapan lidah dan keyakinan dalam hati sahaja
tetapi amalan merupakan sebagai bukti kesempurnaan, keteguhan dan kemantapan
iman seseorang.
Imam al-Ghazali menjelaskan dalam hubungan ini dengan
katanya: "Iman itu ialah akidah, perkataan dan perbuatan". Dengan makna akidah
itu sebagai membenarkan dan mepercayai dengan hati kepada segala yang dibawa
oleh Nabi Muhammad saw. (perkara yang mudah (dharuri) dari agama). Perkataan
adalah sebagai ikrar dan pengakuan dengan lisan dan perbuatan adalah sebagai
beramal melaksanakan segala perintah Allah dengan anggota (badan yang lahir).
Hadis Rasulullah saw. menguatkan adanya hubungan yang sangat erat di
antara iman dan amal. dengan sabdanya sebagai berikut: Sabda Rasulullah saw.
maksudnya: "Iman itu lebih dari enam puluh cabang; yang paling tingginya
La-Ilaaha-Illallaah dan dan yang paling rendahnya membuang sampah dari tengah
jalan". (H.R.Bukhari)
Hadis ini menyatakan dengan jelas perbuatan membuang
sampah sebagai sebahagian dari iman. Ini bermkna iman itu jelas bukan sekadar
keyakinan dan kepercayaan dalam hati tetapi ia juga merangkumi amal atau
perbuatan manusia.
Pembahagian Ibadah
Untuk
memudahkan bahasan dan perbincangan kita berhubung dengan ibadah ini,
ulamak-ulamak Islam membahagikan ibadah kepada dua bahagian sebagai berikut:
1. Ibadah khusus
2. Ibadah Umum
Ibadah khusus ialah semua
amalan yang tercantum dalam bab al-Ibadaat yang utamanya ialah sembahyang,
puasa, zakat dan haji.
Ibadah Umum pula ialah segala amalan dan segala
perbuatan manusia serta gerak-geri dalam kegiatan hidup mereka yang memenuhi
syarat-syarat berikut:
1) Amalan yang dikerjakan itu di akui oleh syarak
dan sesuai dengan Islam.
2) Amalan tersebut tidak bercanggah dengan syariat,
tidak zalim, khianat dan sebagainya
3) Amalan tersebut dikerjakan dengan
niat ikhlas semata-mata keranaAllah swt. tidak riak, ujub dan
sum'ah.
4)
Amalan itu hendaklah dikerjakan dengan sebaik-baiknya
5) Ketika mengerjakan
amalan tersebut tidak lalai atau mengabaikan kewajipan ibadah khusus seperti
sembahyang dan sebagainya.
Firman Allah swt. maksudnya: "Lelaki yang
tidak dilalaikan mereka oleh perniagaan atau jual beli dari mengingati Allah,
mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat mereka takut kepada suatu hari yang
(di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang". (An-Nur: 37)
Amalan-Amalan yang Tidak Menjadi Ibadah
Dilihat dari
syarat-syarat di atas, nampaklah kepada kita bahawa sesuatu amalan yang
dikerjakan oleh seseorang begitu sukar sekali untuk mencapai kesempurnaan dalam
makna ibadah dengan ertikata yang sebenar-benarnya mengikut syarat-syarat dan
ketentuan tersebut di atas, oleh itu kita hendaklah bersungguh-sungguh dalam
mengusahakan amalan kita supaya dapat mencapai matlamat ibadah yang sempurna
dengan menyempurnakan segala syarat-syaratnya.
Dan kita hendaklah
sentiasa meneliti dan memperhatikan dengan sungguh-sungguh agar kita tidak
tertipu dengan amalan kita sendiri; dengan menyangka kita telah banyak
melaksanakan amal ibadah dengan sempurna tetapi pada hakikatnya tidak demikian,
kita takut akan tergolong ke dalam golongan manusia yang tertipu dan sia-sia
amalan kita dan apa yang kita dapat hanyalah penat dan lelah. Ini kerana kita
melakukan amalan dan kerja-kerja kebajikan itu tidak menepati dan tidak selari
dengan ketentuan dan syarat-syarat ibadah dan amal soleh yang dikehandkki
itu.
Dari itu disamping kita melaksanakan segala amalan zahir dengan
sempurna mengikut petunjuk dari Rasulullah saw. apa yang lebih penting lagi
ialah kita membetulkan amalan batin iaitu amalan hati supaya betul iaitu niat
dengan ikhlas, amalan itu semata-mata kerana Allah tidak kerana yang lain
dari-Nya. Dan kita juga hendaklah sentiasa menjaga keikhlasan hati kita ini dari
penyakit-penyakit yang boleh merusakannya seperti riak, ujub, sum'ah, takabur
dan sebagainya.
Kesimpulan secara mudah ialah seorang lelaki yang
memakai pakaian untuk menutup aurat dari kain sutra, dan perempuan yang
berpakaian meliputi badannya tetapi masih menampakan susuk badannya masih lagi
tidak dinamakan ibadah, atau seorang menderma dengan tujuan supaya dipuji dan
digelar sebagai dermawan atau seorang yang rajin bersembahyang dengan niat
tujuan supaya digelar sebagai ahli ibadah oleh manusia; itu semua tidak termasuk
dalam makna ibadah yang diterima oleh Allah swt.
Dengan demikian jelaslah
kepada kita segala amalan yang tidak memenuhi syarat-syarat di atas itu tidak
dikira sebagai ibadah. Niat dan tujuan serta matlamat adalah sangat penting
dalam sesuatu amalan di samping amalan tersebut tidak bercanggah serta diakui
sah oleh syariat Islam.
Matalamat dan Tujuan
Ibadah
Sebagaimana kita ketahui dan maklum bahawa pengutusan
manusia ke dunia ini tidak lain melainkan untuk beribadah (memperhambakan diri)
kepada al-Khaliq, Allah Yang Maha Pencipta dan juga kita telah mengetahui bahawa
pengertian ibadah dalam Islam merangkumi semua bidang amalan dalam kehidupan
manusia.
Dan di sini timbul pertanyaan kenapa kita mengabdi menyembah
Allah dan apakah matlamat ibadah itu ? Apakah ada faedah untuk-Nya atau apa
faedah yang boleh didapati oleh seseorang hamba yang menyembah-Nya ?
Jawapannya ialah bahawa Allah swt. Yang Maha Suci dan Maha Tinggi tidak
mendapat sebarang faedah dari ketaatan orang yang menyembah-Nya dan tidak
memberi mudarat sedikitpun dari keengganan orang yang menentang dan engkar
kepada perintah-Nya.
Begitu juga tidak menambahkan kuasa keagungan
pemerintahan-Nya oleh puji-pujian orang yang memuji-Nya dan tidak mengurangi
keagungan kekuasaan-Nya oleh keengkaran orang-orang yang mengengkari
perintah-Nya.
Ini kerana Allah Maha Kaya dan mempunyai segala-galanya
kerana semua yang ada di alam ini menjadi milik-Nya belaka sedangkan kita
manusia adalah satu dari makhluk Allah yang banyak itu, makhluk manusia ini
terlalu kecil, hina dan miskin, serba kekurangan dan sentiasa berhajat dan
memerlukan kepada-Nya.
Allah, Dialah Tuhan Maha Pemurah, Maha Mulia,
Maha Penyayang serta bersifat Maha Memberi kepada semua makhuk-Nya dan Dia tidak
menyuruh kita mengerjakan sesuatu melainkan perkara itu mendatangkan kebaikan
bagi makhluk itu sendiri.
Firman Allah swt. maksudnya: "Sesungguhnya Kami
telah kurniakan hikmat (ilmu pengetahuan) kepada Luqman supaya dia bersyukur
kepada Allah dan sesiapa yang bersyukur, sebenarnya dia bersyukur dagi faedah
dirinya sendiri dan sesiapa yang ingkar, sesungghnya Allah Maha Kaya lagi
Terpuji". (Luqman: 12)
Dari itu kita wajiblah mensyukuri segala nikmat
dan kurniaan Allah swt. kepada kita semua yang mana sekiranya kita hendak
menghitugnya sudah tentu kita tidak mampu untuk berbuat demikian, begitulah
besar dan banyaknya pemberian Allah kepada kita semua sebagai makhluk-Nya.
Kelazatan Bermunajat dan Mentaati Allah
Kelazatan beribadah ini dapat digambarkan dari beberapa
peristiwa yang berlaku kepada baginda Rasulullah saw. para sahabat, tabi'in dan
para solihin, kelazatan ini akan timbul apabila adanya hubungan hamba dengan
Tuhannya yang begitu erat dan di mana seorang hamba begitu gembira dan begitu
senang memuji-muji kebesaran Allah swt. ini semua berlaku dari sebab
makrifat-nya (kenalnya) seseorang hamba itu kepada
Tuhannya sehingga hamba
itu merasa rindu apabila ia tidak dapat menghadap Tuhannya, dan merasa gelisah
kerana tidak dapat bertemu dengan yang dicintai dan dikasihinya. B begitu juga
apabila seorang hamba mengalami sedikit kesusahan tentulah ia akan mengadu
ketempat yang dapat menerima pengaduan dan boleh menyelesaikan masalah dan
kesusahannya. Tiada tempat yang layak untuk berbuat demikian melainkan kepada
Yang Maha Agung dan Maha Berkuasa.
Firman Allah swt. maksudnya:"Demi
sesungguhnya Kami mengetahui bahawa engkau (Muhammad) bersusah hati dengan apa
yang mereka katakan maka hendaklah engkau bertasbih memuji Tuhanmu serta jadilah
dari golongan orang-orang yang sujud beribadah dan sembahlah Tuhanmu sehingga
tiba kepadmu perkara yang tetap (iaitu mati)". (al-Hijr: 97-99)
Begitu
juga di waktu orang-orang mukmin mendapat kurnia ia bersyukur seterusnya memuji
kepada Allah swt. Firman Allah swt. maksudnya: "Bila datang pertolongan Allah
dan kemenangan (pembukaan Makkah) dan engkau lihat manusia berduyun-duyun masuk
agama Allah swt. maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun
kepada-Nya, sesungguhnya Dia suka menerima taubat". (an-Nasr: 1-4)
Ibadah Hanya Untuk Allah
Pada hakikatnya
pengabdian terhadap Allah swt. merupakan suatu kebebasan yang hakiki, jalan bagi
mencapai kepada ketuannan yang sejati, kerana Allahlah yang boleh membebaskan
hati nurani manusia dari perhambaan kepada sebarang makhluk dan memerdekakannya
dari perhambaan dan kehinaan serta tunduk kepada yang lain dari Allah seperti
tunduk kepada Tuhan-Tuhan palsu, berhala, manusia yang selalunya memperhamba dan
mengongkong keyakinan manusia dengan sekuat-kuatnya miskipun pada lahirnya
mereka bertindak seperti tuan yang bebas dan merdeka.
Perhambaan diri
kepada Allah itu membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kerana
dalam hati manusia ada keperluan sejati kepada Allah, kepada Tuhan yang disembah
yang mana dia bergantung kepadanya dan berusaha serta bekerja untuk mencapai
keredaan-Nya. Jika yang disembah itu bukan Allah Yang Maha Esa tentulah manusia
akan meraba-raba meyembah bermacam-macam Tuhan dari setiap objek benda dan
khayalan yang ada dalam pemikiran dan yang berada di sekeliling mereka.
Tidak ada sesuatu pekerjaan yang paling mulia bagi manusia yang berakal
selain dari beribadah menyembah Allah yang menciptanya dan menjadikan dirinya
dengan sebaik-baiknya dan perkerjaan yang seburuk-buruknya kepada seorang
manusia itu pula ialah menafi dan mendustakan Allah dan Rasul-Nya kemudian
mereka menyembah dan mengabdikan diri mereka kepada Tuhan yang lain dari Allah
swt.
Seorang hamba abdi yang taat kepada tuannya tentulah akan merasa
senang dan gembira kerana ia tahu apa yang disukai oleh tuannya lalu
disempurnakannya suruhan itu dengan segala senang hati dan disempurnakan dengan
sebaik-baiknya. Manakala seorang hamba yang dimiliki oleh beberapa orang tuan
selalu bertelingkah antara sesama mereka; yang satu menyuruh hamba itu melakukan
sesuatu yang ditegah oleh yang lain, maka alangkah susah dan deritanya hamba
tersebu itu untuk melakukan perintah-perintah Tuhan yang saling bertentangan
perintahnya antara satu Tuhan dengan Tuhan yang lain.
Kalau orang yang
menyembah selain dari Allah menjadi musyrik (kafir di- sebabkan ia melakukan
perbuatan syirik), maka begitulah juga orang yang takabur menjadi musyrik (orang
syirik), sebagaimana Firaun kerana kesombongan dan takaburnya, sebagaimana
firman Allah swt. bermaksudnya: "Nabi Musa as. berkata: "Sesungguhnya aku
berlindung kepada Tuhanku dan Tuhan kamu daripada perbuatan orang yang takabur
yang tidak percaya hari Perhitungan", demikianlah Allah meterikan setiap hati
orang yang takabur lagi bermaharajalela". (al-A'raf: 27)
Kajian
menunjukan bahawa semakin besar keangkuhan seseorang yang enggan tunduk dan
patuh beribadah (mengabdi diri) kepada Allah, semakin besar kesyirikannya dengan
Allah, Kerana menurut kebiasaannya semakin banyak takabur tidak mahu menyembah
Allah semakin bertambahlah pergantungan manusia itu terhadap makhluk yang
dicintainya yang menjadi pujaan utama bagi hatinya; yang demikian mereka akan
menjadi musyrik dengan sebab menjadikan dirinya hamba (menyembah) kepada selain
dari Allah swt.
Hati atau keyakinan manusia tidak akan terlepas dari
perhambaan kepada makhluk kecuali mereka menjadikan Allah sebagai Tuhannya yang
sebenar dan sejati, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, tiada tempat
bergantung dan meminta pertolongan melainkan dari-Nya, Tidak merasa gembira
melainkan dengan apa yang disukai dan diredai-Nya, Tidak ia benci melainkan apa
yang dibenci oleh Allah, tidak ia memusuhi kecuali orang yang Allah memusuhinya,
tidak ia kasih melainkan kepada orang yang di kasihi oleh Allah, tidak ia
memberi kecuali kerana Allah dan tidak ia melarang kecuali kerana Allah.
Semakin tulus keikhlasa seseorang itu kepada Allah maka semakin
sempurnalah ubudiyahnya (perhambaanya) kepada Allah dan terlepas dari
pergantungannya kepada sesama makhluk, dengan sempurna ubudiyahnya kepada Allah
maka sempurnalah kesuciannya dari sifat syirik.
Tidak Harus
Kepentingan Dunia Dijadikan Tujuan Ibadah
Samasekali tidak
sesuai dengan tujuan Islam yang suci di mana tujuan atau kepentingan dunia
menjadi matlamat dalam amalan atau ibadah seseorang, ataupun kepentingan dunia
atau faedah-faedah dunia menjadi pendorong seseorang untuk melakukan printah
ibadah kepada Allah swt.
Begitu juga kalau tujuan beramal dan beribadah
kepada Allah swt. untuk mendapatkan kesucian jiwa dan dengan itu dapat
mengembara ke alam arwah dan dapat melihat malaikat serta dapat melakukan
sesuatu yang luar biasa, mendapat keramat (kemuliaan) dan ilmu ladunni.
Semuanya ini disangkal oleh para ulamak dengan katanya: "Yang demikian
adalah terkeluar daripada jalan ibadah, Ia merupakan ramalan kepada ilmu atau
perkara ghaib, malah akan menjadi ibadah kepada Allah itu sebagai jalan menuju
ke arah demikian yang mana pada akhirnya lebih hampir kepada meninggal
ibadah."Orang-orang yang beribadah dengan maksud yang demikian termasuk di bawah
pengertian ayat al-Quran yang maksudnya: "Sebahagian daripada manusia yang
menyembah Allah secara tidak tetap, bila mendapat kebaikan dia teruskan dan bila
terkena kesusahan dia berpaling tadah. Rugilah dia di dunia dan di akhirat.
Itulah kerugian yang amat nyata". (al-Hajj: 11)
Begitulah keadaan orang
yang beribadah dengan tujuan mendapatkan faedah-faedah dunyawi jika sampai dan
berhasil tujuan dan kehendaknya bergembiralah dia dan kuatlah tujuannya tetapi
lemahlah ibadahnya jika tujuannya tidak berhasil dia meninggalkan ibadah itu.
Kesimpulan
Sebagaimana yang telah kita faham
sebelum ini runglingkup ibadah itu adalah terlalu luas sebagaimana yang telah
dijelaskan iaitu ibadah merupakan semua kegiatan hidup manusia itu sendiri yang
sesuai dengan syariat Islam yang suci dan murni itu, oleh itu bolehlah difaham
ibadah dalam Islam bermula sejak dari adab-adab masuk ketandas mengerjakan
qadha' hajat hinggalah sampai kepada bagaimana cara mengurus kewangan dan
mentadbir negara.
Kegiatan hidup manusia ini akan termasuk ke dalam
makna ibadah yang diberi ganjaran dan pembalasan pahala baik di akhirat apabila
ia menepati dengan kehendak syarak, tidak menyeleweng dari kehendak dan
ketentuan Allah swt. dikerjakan mengikut peraturan dan syarat-syaratnya,
disertai pula dengan niat yang betul dan ikhlas semata-mata dilakukan kerana
mencari keredaan Allah swt. tidak kerana yang lain dari-Nya, menghindarkan diri
dari perasaan riak, (menunjuk-nunjuk), ingin dipuji dan terkenal sebagai orang
yang rajin, tekun, orang baik dan ingin disebut-sebut sebagai ahli ibadah oleh
orang ramai dan juga suka berbangga dengan memberi tahu kepada orang lain akan
amal kebajikannya. Ia juga hendaklah menghindarkan diri dari merasa bangga
kerana ia telah banyak berbuat kebajikan dan berbuat amal ibadah.
Oleh
itu ibadah dalam Islam bukanlah terhad kepada amalan-amalan ibadah yang ritual
semata-mata seperti sembahyang, zikir, puasa, haji dan sebagainya yang disebut
sebagai ibadah khusus, tetapi ibadah merangkumi, kerja-kerja kemasyarakatan dan
sosial, mencari rezki, sahinggalah kepada mengurus dan mentadbir negara;
semuanya itu akan menjadi ibadah sekiranya ia dilakukan menurut cara dan
kehendak Islam serta niat dari hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah
swt.